Pokok Pepanggil / Pagoda

Salam pertemuan di alam maya. Kali ini Taman Etnobotani memperkenalkan kalian dengan pokok pagoda. Unik nama panggilannya, mungkin ada kaitan dengan rupa bunga yang seakan bentuk pagoda/tokong. Tumbuhan ini dikenali juga sebagai Bai jek hong (T), iginga, kasopangil, laron anito (F), pepanggil (M), dan pagoda flower (I). Nama saintifiknya Clerodendron paniculatum dari famili Verbenaceae. Sinonim: Clerodendrum Kaempferi (Jacq.) Sleb. = Clerodendrum paniculatum L. = Volkameria javonica Thunb.

Tumbuhan yang berasal dari China dan Asia Tenggara ini mempunyai ciri bunga yang menarik. Bunganya bergugus serta bertingkat-tingkat berwarna merah hampir serupa dengan bunga semarak api. Bezanya ia tidak mempunyai janggut panjang. Bunga berbentuk tiub dengan panjang 1.3 cm setiap satu. Bunga dengan lima kelopak ini mempunya stamen dan stail yang panjang 4 kali ganda panjnag bunga. Bunga-bunga ini disusun dalam jambak di bahagian pucuk tumbuhan membentuk infloresen yang tingginya mencecah lebih dari sekaki. Jambak bunga yang menyerlah ini menjadi tarikan serangga dan burung penghisap madu.

Daunnya lebar berbentuk tiga layang dan bertangkai panjang. Daunnya warna hijau tua pekat berkilat. Urat daunnya ada yang bertemu dan ada yang tidak. Daun tumbuhan ini disusun bertentang pada batang yang sangat cepat membesar. Ketinggiannya boleh mencapai 6 – 8 kaki.

Sekuntum bunga yang sedang kembang pada jambak
Pandangan atas anak pokok pagoda
Infloresen pokok pagoda yang tumbuh subur dalam TE
Batang menunjukkan parut tangkai daun yang telah gugur

Tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan dan boleh digunakan sama ada secara dalaman atau luaran. Untuk diminum, sebanyak 30-90 gram akar direbus atau dijadikan serbuk, atau 30-90 gram bunga direbus, lalu airnya diminum. Manakala untuk kegunaan luaran pula, daun atau bunga segar dihancurkan lalu ditempel pada bahagian yang sakit atau bengkak. Daun segar dan bunga dihancurkan dan dicampur sedikit madu lalu disapu pada bisul.

Tumbuhan in boleh dibiak melalui keratan batang dan akar, sulur yang tumbuh berhampiran batang atau biji benih. Ia sangat mudah dijaga, hidup subur pada tanah berhumus yang sedikit berasid dan tidak menakung air. Perlu diingat oleh kerana tumbuhan ini sangat cepat membesar, ia perlu dicantas selepas berbunga dan sulur-sulur yang tumbuh di sekitar batang utama hendaklah dibuang secara berkala.

Rujukan:
http://khasiat-tumbuhan.blogspot.my/2014/04/manfaat-tanaman-bunga-pagoda.html
NParks Flora&FaunaWeb at https://florafaunaweb.nparks.gov.sg/Site-Info.aspx
https://floridata.com/Plants/Verbenaceae/Clerodendrum+paniculatum/961
https://florafaunaweb.nparks.gov.sg/Special-Pages/plant-detail.aspx?id=1826

Satu pandangan di “Pokok Pepanggil / Pagoda”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *