Bunga Raya

Bunga raya oh bunga raya!

Salam di alam maya. Bertemu kembali membicara tentang sejenis tumbuhan yang amat signifikan dengan rakyat Malaysia. Hibiscus rosa-sinensis nama saintifik yang diberikan kepada tumbuhan istimewa ini. Tumbuhan ini terletak dalam famili Malvaceae, genus Hibiscus. Disebut sahaja bunga raya,tidak keterlaluan jika dikatakan semua orang Malaysia mengenalinya. Manakan tidak bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Imej yang tergambar dalam fikiran setiap individu mungkin berbeza-beza. Hibiscus rosa-sinensis atau bunga raya yang dipilih menjadi bunga kebangsaan Malaysia ialah bunga berwarna merah selapis, berkelopak 5, yang berkembang di siang hari. Menjelang senja bunga raya akan layu.

Bunga Raya
Inilah dia bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia. Gambar dipetik dari internet.
http://kembara-alam-aadk.blogspot.com/2017/08/bunga-raya-bunga-kebangsaan-malaysia.html

Menjelang bulan Ogos mengundang semangat patriotik dalam jiwa anak Malaysia, maka itulah terbit keinginan menulis sedikit tentang bunga raya yang terdapat di Taman Etnobotani. Bunga raya berwarna merah ini diisytihar sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh YTM Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pada ketika itu. Apabila Malaysia dibentuk, bunga ini terus diangkat sebagai bunga kebangsaan Malaysia.
Menerusuri susur gajah dari blok Rabiah ke blok Mohamad Zain anda akan melihat banyak sekali variasi atau spesies ‘bunga raya’ yang pelbagai warna.

Hibiscus Dainty White
Hibiscus “Dainty White”

Gambar-gambar berikut menunjukkan pelbagai cultivar yang ditanam di TE. Cultivar yang pelbagai ini terhasil disebabkan Hibiscus mempunyai ciri genetik poliploid yang sangat mudah menghasilkan bunga yang berbeza dari bunga pokok induk apabila dikacukkan.

Pokok Hibiscus rosa-sinensis ini banyak kegunaannya sama ada sebagai makanan, kosmetik dan perubatan. Daunnya diramas dan diaplikasi pada kepala untuk menghitamkan rambut serta menurunkan suhu. Ekstrak bunganya berpotensi sebagai bahan kosmetik yang mana ia boleh bertindak sebagai anti-solar iaitu berupaya menyerap sinar ultra ungu. Selain itu, di India bunganya juga digunakan sebagai pengilat kasut.

Cara pembiakan Hibiscus amat mudah iaitu menggunakan cara keratan batang. Pembiakan melalui biji benih hampir tidak pernah diamalkan kecuali di negara-negara beriklim temperat. Hibiscus yang bertumbuh di kawasan beriklim temperat pula merupakan spesies yang boleh tahan musim sejuk@bersalji.

Apa pun, di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 300 spesies Hibiscus. Pilihan di tangan anda.

Jika ada yang berminat hendak mendapatkan anak pokok pelbagai warna bunga di atas boleh berhubung dengan Penyelaras TE di IPGKTAR.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Sumber:
https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_Hibiscus_cultivars
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2018/08/31/how-the-bunga-raya-became-malaysias-national-flower/1667877
https://kampusuols.com/article/422432/U-In-News/ISU/Dalam-banyak-banyak-bunga-kenapa-Bunga-Raya-dipilih-sebagai-Bunga-Kebangsaan
https://homeguides.sfgate.com/differences-between-rose-sharon-hibiscus-61587.html

Satu pandangan di “Bunga Raya”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *