Turi

Bertemu kembali di laman maya. Kali ini saya ingin memperkenalkan sejenis tanaman yang terdapat dalam Taman Etnobotani yang ditanam hampir satu setengah tahun lalu. Ia hidup dengan subur sebaik ditanam hingga kini. Nama biasanya Turi, manakala nama saintifiknya ialah  Sesbania grandiflora, tergolong dalam family Fabaceae (Leguminosae). Daripada pembacaan dan pengalaman peribadi, saya mengenali dua jenis Turi iaitu berbunga putih dan merah. Barangkali ramai yang tidak mengenali pokok ini kerana sudah kurang  ditanam orang. Turi sejenis tumbuhan asal Malaysia dan Utara Australia (Wikipedia). Pokok ini cepat membesar dan memerlukan cahaya matahari yang banyak.

Batangnya berkayu lembut boleh mencapai ketinggian dari 3 – 8 m. Turi mempunyai daun jenis majmuk. Setiap tangkai daun berukuran 15 – 30 cm panjang. Setiap tangkai ditumbuhi 10 – 20 pasang  daun, dalam bilangan ganjil. Perkara yang amat menarik perhatian ialah bunganya yang berwarna merah terang, sekali pandang  nampak seperti bunga orkid.  Bunga yang belum kembang mempunyai bentuk seperti bunga kekacang lain. Buah yang terhasil berbentuk pipih dan panjang  lebih kurang 30 – 40 cm, mengandungi kira-kira 30 biji.

Kuntum Turi

Bunga-bunga Turi yang sudah berkembang

Selain nilai estetikanya, Turi juga dijadikan bahan makanan dalam kalangan penduduk Asia Tenggara seperti Laos, Jawa, Filipina, Vietnam dan Malaysia. Bahagian tumbuhan yang dimakan termasuklah daun dan bunga. Secara peribadi saya sendiri pernah memakan sayur lemak daun Turi sekitar lewat 70an.  Pada waktu itu saya mengenali Turi yang berbunga putih sahaja. Setelah berpuluh tahun lamanya saya tidak pernah lagi merasai sayur turi lagi. Berdasarkan pembacaan di alam maya, bunga Turi juga dijadikan santapan di Thailand dan India sama ada sebagai sayur atau dicelur sebagai ulam. Di Sri Lanka daun dan  buah muda juga dimasak kari.

Dari segi perubatan pula Turi dipercayai boleh merawat demam nipas lepas bersalin, keputihan, kuku jari bengkak kerana terpukul, hidung berlendir dan sakit kepala (Siti Fuziah Yusof, 2013).

Pokok Turi merimbun di TE
Pucuk muda – daun muda ini enak dimasak lemak
Buah Turi yang masih muda
Daun majmuk – anak-anak daun tersusun sepanjang tangkai
Putik bunga yang baru bertumbuh
Putik bunga yang sudah mula membentuk kelopak

Turi dibaikkan dengan mudah melalui biji benih. Buah mudanya berwarna hijau dan setelah matang bertukar perang. Biji boleh dikeluarkan dari buah dan dikeringkan sebelum disemai. Bagi menjaga ketahanannya biji yang telah kering perlu disimpan di tempat sejuak dan kering.

Rujukan :
Siti Fuziah Yusof (2013). Ensiklopedia Tumbuhan Ubatan Malaysia. AR- Risalah Product Sdn Bhd, Batu Caves Selangor
https://en.wikipedia.org/wiki/Sesbania_grandiflora

2 pandangan di “Turi”

  1. Sya berhrap bntuan tuan atau puan, boleh bntu sya mana nak dpt daun turi ni? Sya brhrap tlong whatsapp sya 0173075413

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *