Akar Dani

AKAR DANI – Combretum indicum

Dikenali sebagai Akar Dani dalam kalangan masyarakat Melayu, pokok ini boleh didapati secara semulajadi di hutan sekunder Filipina, Malaysia dan India. Di Thailand, Burma dan Vietnam Akar Dani telah lama ditanam oleh penduduk tempatan. Selain itu ia adalah tumbuhan semulajadi di Myamar hingga ke New Guinea.

Akar Dani bersifat menjalar dengan batang berlignin yang boleh mencapai antara 2.5 meter hingga 8 meter tingginya. Ia berupaya memanjat dengan bantuan cangkuk yang terbentuk pada petiol daun. Daunnya berbentuk elips, dengan hujungnya akuminat dan pangkalnya bulat. Daun tersebut yang panjangnya 7-15 sentimeter tumbuh dalam susunan bertentangan. Bunganya wangi dan berbentuk tiub, dengan warnanya berbeza-beza dari putih ke merah muda hingga merah. Buahnya ialah drup bersaiz 30-35 milimeter panjang mempunyai rasa seakan-akan buah badam apabila matang. Buah berwarna merah akan bertukar perang apabila matang. Ia berbentuk elips dan memiliki lima sayap yang ketara. Buah pokok ini disebarkan melalui air. Pokok ini juga dikenali sebagai pokok “Drunken Sailor”

Susunan daun bertentangan
Susunan daun bertentangan
Jambak bunga tumbuh pada setiap ketiak daun
Jambak bunga tumbuh pada setiap ketiak daun

Nama saintifik pokok ini iaitu Combretum indicum dari keluarga combretaceae. Indicum merujuk kepada tempat asal iaitu India. Akar Dani juga sinonim dikenali sebagai Quisqualis indica L. Kebelakangan ini Akar Dani menjadi antara tumbuhan yang dicari oleh penternak kelulut. Bunga berbentuk jambak yang lebat dan berbunga sepanjang tahun menjadi pilihan penternak sebagai sumber makanan kelulut.

Dalam kalangan penduduk tempatan daun tumbuhan ini digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengurangkan sakit akibat demam. Rebusan akar, biji atau buahnya juga boleh digunakan.

Akar Dani dibiakkan menggunakan biji atau kaedah tut.

Kuntuman bunga yang mula menampakkan diri. Beberapa hari lagi akan terserlah kecantikannya.
Kuntuman bunga yang mula menampakkan diri. Beberapa hari lagi akan terserlah kecantikannya.
Inilah jambak bunga yang telah kembang
Inilah jambak bunga yang telah kembang .
Pameran pelbagai peringkat bunga dari kuntum berwarna putih, bunga yang mula berkembang berwarna merah jambu, hinggalah bunga yang telah berkembang beberapa hari berwarna merah.
Pameran pelbagai peringkat bunga dari kuntum berwarna putih, bunga yang mula berkembang berwarna merah jambu, hinggalah bunga yang telah berkembang beberapa hari berwarna merah.

Gambar-gambar di atas dirakamkan dalam Taman Etnobotani IPGKTAR. Jika semua pokok Akar Dani dalam taman ini berbunga lebat sebegini memang boleh “mabuk” dibuatnya. Sesuai sangat nama gelarannya “Drunken sailor”!

Rujukan:
Tanaman hiasan: khasiat makanan & ubatan, By Hean Chooi Ong
https://en.wikipedia.org/wiki/Combretum_indicum
https://florafaunaweb.nparks.gov.sg/special-pages/plant-detail.aspx?id=1497