Bunga Kantan

Bunga Kantan juga dikenali sebagai bunga siantan. Ia merupakan sejenis pokok saka herba. Pokoknya menegak dengan batang hijau yang lurus. Daunnya tirus dan panjang seperti daun pokok Lengkuas. Ia mempunyai bunga yang cantik dan berbau kuat. Ada tiga jenis bunga Kantan yang terdapat di Malaysia iaitu yang berwarna putih, merah jambu dan merah. Bunga Kantan yang berwarna merah sering menjadi pilihan ramai terutama untuk seni gubahan kerana warnanya yang lebih menarik. Bunga Kantan berwarna putih dan merah jambu pula sering dijadikan bahan dalam masakan.

Pokok bunga Kantan hidup subur di kawasan berair dan lembap. Menariknya mengenai pokok ini, ia seperti tiada musuh kerana serangga terutamanya tidak berminat untuk menyerang pokok ini kerana aroma yang terdapat padanya.Setiap rumpun pokok bunga kantan mampu menghasilkan antara tiga hingga tujuh kuntum bunga bergantung kepada kesuburan dan saiz perdu pokok. Ia berbunga sepanjang tahun.

Tumbuhan herba ini mengandungi banyak bahan antioksida yang amat baik untuk kesihatan. Hampir keseluruhan bahagian pada pokok bunga Kantan mempunyai khasiat serta manfaat yang bagus untuk tubuh manusia.

Khasiat Pokok Bunga Kantan

Batang Bunga Kantan

Dipercayai dan diamalkan oleh orang-orang lama untuk mengubati penyakit bengkak-bengkak pada tubuh badan. Tetapi yang paling dan sering diamalkan ialah untuk hilangkan bau badan, terutama untuk wanita baru lepas bersalin. Anda hanya perlu potong pendek-pendek batang pokok bunga Kantan ini, tumbuk sehingga hampir lumat dan didihkannya. Ambil air tersebut dijadikan mandian.

Buah Pokok Bunga Kantan

Ia boleh memberikan kesan untuk menambah selera makan, mengurangkan rasa kurang bermaya dan sebagai penawar bagi menghilangkan lendir dan kahak pada tekak. Anda perlu tumbuk buah atau bijinya sehingga lumat sehingga keluar air. Toskan biji tersebut untuk asingkan hampas biji dengan airnya. Ambil air ini, campurkan dengan segelas air suam, minumlah setiap pagi dan malam.

Ada juga yang mendakwa buah pokok Bunga Kantan dapat membantu dalam menguatkan tenaga batin lelaki tetapi sejauh mana kebenarannya, tidakdapat dipastikan.

Daun Pokok Bunga Kantan

Jika anda merebus daunnya, air rebusan ini boleh dijadikan sebagai bahan untuk mencuci luka di badan. Gunakan air rebusan daun pokok bunga Kantan ketika suam. Hanya lumurkan sahaja pada tempat atau bahagian luka tersebut.

Bunga Kantan

Bunga Kantan baik yang berwarna putih, merah jambu mahupun merah memang sesuai dan sering dijadikan bahan aroma dalam masakan. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan rasa dan bau, tetapi ada khasiatnya tersendiri.

Bunga ini boleh sahaja dimakan terus atau direbus dijadikan sebagai ulam-ulaman. Ramai yang berkata, dengan memakan bunga Kantan ini .. ia boleh memberikan kesan awet muda kepada yang mengamalkannya.

Ia juga didakwa boleh membantu dalam rawatan penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi, dengan meminum air rebusan bunga Kantan. Pun begitu, ia perlu diambil dalam sukatan yang betul kerana khuatir ada kesan sampingan seandainya mengambil air rebusan bunga Kantan secara berlebihan.

Sumber rujukan:
https://www.hasrulhassan.com/2017/10/khasiat-kegunaan-pokok-bunga-kantan.html
www.sentiasapanas.com/2019/03/bunga-kantan-khasiat-dan-manfaatnya.html

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *