Asam Jawa

Tamarindus indica merupakan tumbuhan kekacang tergolong dalam famili Fabaceae. Nama ini diperolehi dari bahasa Arab bermaksud ‘tamar hindi’.

Rekod dan sejarah menunjukkan yang ibu negeri Senegal diberi nama ‘Dakar’ dalam bahasa tempatan yang bermaksud “pokok asam jawa”. Pokok asam jawa adalah tumbuhan semula jadi di benua tropika Afrika. Tumbuhan ini dipercayai disebar ke rantau torpika oleh manusia beberapa ribu tahun BC.

Asam jawa tergolong sebagai jenis pohon dan berumur panjang (menahun). Berperawakan besar, malar hijau (tidak mengalami masa gugur daun), tinggi sehingga 30 m dan diameter batang di pangkal mencapai 2 m. Kulit batang berwarna coklat keabu-abuan, kasar dan memecah, beralur-alur vertikal.

Batang utama pokoknya pendek tetapi mempunyai banyak cabang dan bentuk pokoknya adalah rimbun. Dahan dan cabang pokok mempunyai susunan yang terbuka luas. Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang dan jarang-jarang sekah atau patah. Kanopi pokok asam jawa juga berbentuk seperti kubah yang bulat melebar. Pokok ini tahan kemarau dan mudah hidup di mana-mana jenis tanah sama ada pada tanah yang subur atau tanah bermasalah.

Daunnya berwarna hijau terang, panjangnya 10-15 cm daripada jenis pinat dengan anak daun berbentuk bujur sebanyak 10-20 pasang. Pokok asam jawa menunjukkan ciri ‘tido’ iaitu daun tertutup menjelang petang. Ciri ini merupakan ciri bagi tumbuhan dalam famili kekacang. Daunnya sentiasa menghijau tetapi apabila cuaca terlalu panas daun-daun ini akan gugur. Bunga asam jawa adalah agak kecil yang lazimnya berwarna kuning air dan tumbuh di cabang bahagian hujung. Kelopak bunganya adalah berwarna merah jambu. Ia akan gugur apabila bunga mengembang.

Bunga akan mengeluarkan buah asam jawa atau lenggai yang panjang, melengkung sedikit, permukaannya genting dan mengelembung beralun yang menunjukkan ada biji benih yang terkandung di dalamnya. Warna lengai asam jawa adalah coklat karat dan apabila matang buah lenggai akan menjadi rapuh dan mudah terbuka. Apabila lenggai telah merekah ia akan menampakkan isinya (pulpa) berwarna coklat gelap. Terdapat biji berwarna coklat kehitam-hitaman yang agak keras dan berkilat. Ia mempunyai rasa yang masam, namun terdapat varieti yang agak manis. Buah dari varieti manis ini banyak ditanam di Thailand dan dijual sebagai snek.

asamjawa1
Bunga asam jawa – berwarna kekuningan, saiz kecil.
https://florafaunaweb.nparks.gov.sg/special-pages/plant-detail.aspx?id=3174
asamjawa2
Buah asam jawa yang masih muda berwarna perang
https://www.pinterest.com/pin/354728908122717155/?lp=true

Kegunaan asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya. Untuk tujuan komersial didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung. Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi). Amalan ini juga telah terbukti secara klinikal di beberapa negara seperti di India.

Isi asam jawa diproses dalam pelbagai bentuk, seperti kordial, sebagai bancuhan jus minuman yang dicampur dengan air gula sebagai minuman segar, bentuk pes dan kering. Asam jawa merupakan bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan atau makanan seperti kari, pelbagai jenis acar, pembuatan sos, bahan awet dan lain-lain lagi.

asamjawa4
Daun muda asam jawa
asamjawa3
Di Thailand, daun muda dijadikan jeruk
http://vasineefoodcorp.com/product.php?pid=G44295

Isi asam jawa digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan serta sapuan bagi melegakan sakit sendi. Ia juga digunakan bagi mengurangkan radang gusi, lelah dan sakit mata.

asamjawa5
Asam jawa yang telah matang, kulit menjadi rapuh, isinya lembut dan terpisah dari kulit.

Kulit kayu dibuat losyen untuk mengubati penyakit kulit seperti bisul, bengkak ulser dan gatal gigitan serangga. Air rebusan daun diminum sebagai penawar deman panas. Daun muda ditumbuk dan ditampal pada tempat sakit bagi mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul. Pelbagai jenis kegunaan pokok asam jawa boleh didapati dalam tulisan Dato’ Mohd Anim Hosnan (animhosna.blogspot.my/2016/12/asam-jawa-khasiatnya.html).

Bunga asam jawa juga adalah sumber madu yang baik bagi lebah madu (Apis spp.) dimana madu tersebut berwarna kuning keemas-emasan dan sangat manis.

Kayunya digunakan untuk membuat perabot rumah, panel dinding, roda, gear untuk kilang, pembajak, dinding sampan, pemegang pisau dan alat-alat lain, anak lesung penumbuk beras dan lain-lain lagi. Pengalaman sendiri mendapati kayu asam jawa sangat liat, tidak mudah dipatahkan. Penulis pernah menanam pokok ini dan didapati ia telah mengeluarkan hasil setelah lebih kurang 5 – 6 tahun ditanam. Pokok ini penulis tanam dari biji buah asam jawa manis dari Thailand.

Dalam TE sekarang terdapat sebatang pokok asam jawa yang masih belum mengeluarkan bunga dan buah. Maklumat tentang asam jawa ini banyak diperoleh melalui laman web.

Info berkaitan nilai-nilai perubatan asam jawa boleh dirujuk https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2221169115300885

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *