Pandan

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Bersua lagi di laman Taman Etnobotani. Pantun di atas melambangkan budaya hidup masyarakat Melayu dan amat berkaitan dengan tanaman yang diperkenalkan kali ini. Pokok pandan dan pandan wangi begitu sinonim dengan kehidupan seharian masyarakat nusantara.

Pokok pandan yang terdapat di Taman Etnobotani

Pandan tergolong tumbuhan angiosperma iaitu tumbuhan berbunga. Nama saintifik pandan ialah Pandanus amaryllifolius.  Walau bagaimanapun ia amat jarang berbunga.  Ia mempunyai daun panjang tajam (lebar 4- 5 cm, panjang 55 – 75 cm) yang disusun mengelilingi batang tegak. Daunnya berwarna hijau dengan permukaan atas berlilin.  Ia dibiak secara vegetatif dan boleh tumbuh lebiih kurang 1 – 1.5 m tinggi. Akar berkayu tumbuh dari sisi batang berfungsi menyokong dan sebagai akar udara. Ini penting kerana pandan tidak mempunyai akar tujang dan hidup subur di kawasan lembap atau berair. Bahagian hujung daun biasanya berduri.

Tumbuhan monokot ini mempunyai ciri istimewa, iaitu aroma harumnya yang terhasil oleh sebatian organik  2-asetil-1-pirolin. Aroma yang nyaman menjadikannya digemari sebagai bahan tambah semulajadi bagi meningkatkan rasa dan aroma makanan.  Selain sebagai perisa, esktrak daun pandan juga digunakan sebagai pewarna bagi makanan seperti kuih muih tradisional serta kek dan lauk pauk.  Kegunaan sebagai bahan tambah makanan amat meluas di negara-negara Asia Tenggara  seperti Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Thailand. Terdapat juga amalan menganyam daun pandan untuk dijadikan bekas mengukus nasi atau pulut. Selain itu daun pandan dijadikan pembalut atau bekas mengisi kuih muih dan lauk.

Selain itu, daun pandan juga mempunyai nilai perubatan. Antaranya untuk merawat badan banyak angin, gout, stress, jangkitan kuman, pencernaan bermasalah, tekanan darah tinggi, kejang urat, reumatik, rambut bermasalah, senggal serta kulit kasar.
Sebagai satu cara untuk mengurangkan kolesterol, disarankan meminum air daun pandan mengikut persediaan berikut:

Rebus 3 helai daun pandan dengan 3 cawan air. Didihkan hingga berbaki 1 cawan sahaja. Air rebusan ini hendaklah diminum  pada hari yang sama. Amalkan 3 kali seminggu.

Dalam kalangan masyarakat Melayu daun pandan juga digunakan dalam upacara tradisi seperti majlis perkahwinan, cucur jambul dsb. Daun pandan diracik halus untuk dijadikan bunga rampai. Selain itu ia juga dicampur dalam bedak sejuk dan minyak rambut sebagai pewangi. Daun pandan juga berkesan menghilangkan bau durian dalam kenderaan.

Cara menyediakan acuan untuk kuih
Ayam goreng daun pandan

Siti Fuziah Yusuf (2013). Ensiklopedia Tumbuhan Ubatan Malaysia.  AR-Risalah Product, Batu Caves, Selangor

https://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Pandan

https://i0.wp.com/veganlogy.com

2 pandangan di “Pandan”

    1. Ya, terdapat spesies pandan yang biasa berbunga. Pandan tergolong tumbuhan berbunga. Bagaimanapun panda wangi yang biasa digunakan dalam masakan tu sangat sukar nak berbunga.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *