Markisa (Passion fruit)

Markisa atau buah susu ialah sejenis tumbuhan menjalar yang hidup subur  dalam Taman Etnobotani (TE) IPGKTAR. Pokok ini ditanam dari biji benih hampir setahun lalu. Setelah sekian lama menunggu, ia baru mula mengeluarkan hasil yakni berbuah pada awal Februari 2017.  Alhamdulillah, berkat berbudi pada tanah, lambat laun dapat juga menikmati hasilnya. Pokok yang ditanam dalam TE ini agak lambat sedikit mengeluarkan buah, barangkali sebab di peringkat awal perkembangan pertumbuhannya agak lambat. Faktor tanah memainkan peranan penting, iaitu markisa kurang menggemari tanah bertakung air. Pembajaan juga penting bagi menjamin pokok ini berbuah. Baja foliar umpamanya menjadikan pokok tumbuh merimbun dan berdaun lebat. Bagi memastikan ia berbunga dan berbuah, pokok mesti diberi baja yang meggalakkan pembungaan dan penghasilan buah.

Tanaman Markisa yang terdapat di TE. Tumbuhan ini jenis memanjat, makanya perlulah disediakan pagar atau para. Kalau terbiar menjalar atas tanah tak sesuai. Pagar@para pula haruslah kuat bagi menampung beratnya.

Dari segi taburan, pokok markisa boleh hidup di kebanyakan negara-negara tropika dan sub-tropika terutama di Australia, India, Kenya, New Zealand dan Hawaii. Markisa ditanam secara komersil di negara-negara berkenaan. Dua varieti yang biasa ditanam untuk tujuan ini ialah markisa berkulit warna kuning (Passiflora edulis f.flvicarpa) dan buah markisa berkulit warna ungu (Passiflora edulis sim). Varieti kuning ini telah dibawa ke Malaysia dari Australia dan Hawaii pada tahun 1960-an.
Sumber Wikipedia menyatakan pokok ini (varieti kuning) mula menghasilkan buah dalam jangka masa 5-6 bulan selepas tempoh penanaman dan jangka hayat pokok adalah lebih kurang 3 tahun. Lebih kurang 74 hari selepas pendebungaan, bunga akan menjadi buah yang bujur berukuran kira-kira 7 cm dan 6 cm dan mempunyai berat dalam lingkungan 8 g. Buah ini manis serta mempunyai rasa dan bau yang sedap apabila ranum.

Sulur paut yang tumbuh pada ketiak daun digunakan untuk berpaut pada sebarang objek.
Buah markisa yang terhasil selepas proses pendebungaan. Buah berbentuk bulat, berwarna hijau berkilat.
Pucuk tanaman yang menunjukkan daun matang bebentuk bercuping 3. Bahagian tepi daun bergerigi halus. Daun disusun secara berselang.
Bunga terbentuk dari 5 sepal berwarna putih kehijauan, 5 kelopak putih, korona berbentuk jejari dengan hujung berwrana putih dan dasar ungu

Markisa atau buah susu dikelaskan dalam famili Passifloraceae,  genera Passiflora. Spesies ini mengeluarkan bunga yang menarik berwarna putih dan ungu. Isi buahnya yang manis masam boleh dimakan begitu sahaja, dicampur dalam pencuci mulut atau dibuat minuman. Buah markisa sangat berupaya sebagai sumber antioksidan dengan setiap 100 g isi buah mengadungi 30 mg vitamin C. Selain itu ia juga kaya vitamin A, potassium serta serat. Kandungan serat yang tinggi dapat membantu menurunkan kandungan kolestrol darah. Setiap 100 g isi buah mengandungi 10.4 g serat iaitu 27% kandungan serat.

Buah markisa yang cukup masak. (Gambar dari sumber laman web)

Akhir sekali, bagi sesiapa yang berminat bolehlah mencuba resipi di bawah.
Selamat mencuba.

Jus Markisa Asam Boi   (http://www.tiffinbiru.com/ )
BAHAN-BAHANNYA :
13 biji buah markisar @ passion fruit yang masak
1 liter air mineral @ air masak
3 biji limau kasturi, perah jusnya
6 biji asam boi jenis putih
Ais kiub secukupnya

CARA MEMBUATNYA :

  1. Cuci buah markisa dan toskan. Belah 2 setiap sebiji dan korek keluar isinya menggunakan sudu. Asingkan dalam  camca besar isi buah markisa tadi untuk hiasan. Selebihnya anda masukkan ke dalam penapis dan pastikan tadah bawahnya dengan bekas. Tekan isi buah markisa tadi dengan belakang senduk hingga jusnya semua keluar. Buang bijinya.
  2. Tuang jus buah markisa dalam jug. Tambah air mineral atau air masak, kacau rata dan masukkan jus limau kasturi dan asam boi. Kacau lagi dan masukkan ais kiub secukupnya. Biar sejuk. Tambah isi buah markisa yang diasingkan tadi sebagai hiasan. Hidangkan segera.

PUDING MARKISA
Resepi adaptasi dari Puding Selasih Unggu

Puding Markisa

By: Nunung
Sumber : Buku Pelbagai Jenis Puding

2 biji buah Markisa – ambil bijinya sahaja
1/2 peket agar-agar segera
400 ml air
300 ml susu atau whiping cream
125 gm gula pasir
1 sudu besar sunquick perisa buah-buahan
sedikit pewarna kuning
2 biji putih telur jika suka

  1. Masak agar-agar bersama air dan gula hingga gula dan agar-agar larut.
  2. Ambil sedikit agar dan campurkan bersama biji buah markisa tadi
    Tuangkan dalam acuan yg telah di basahkan dengan air.
    Biarkan ia seketika
  3. Baki agar2 tadi di campurka pula dengan susu masak hingga didih
  4. Tambahkan Sunquick dan pewarna kuning kacau rata
  5. Tuangkan atas puding markisa tadi.
  6. Biarkan sejuk dan simpan dalam peti ais untuk di makan dingin
    Enak dimakan bersama sos vanilla

Sumber:

  1. https://www.crfg.org/pubs/ff/passionfruit.html
  2. https://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Markisa
  3. http://www.nutrition-and-you.com/passion-fruit.html

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Medan diperlukan ditanda dengan *