Kemeriahan Kolaborasi Konvokesyen Prasekolah Daerah Samarahan

 

KOTA SAMARAHAN, 09 Okt. : Seramai 358 orang murid dari 22 buah kelas prasekolah daerah Samarahan telah dianugerahkan sijil tamat pendidikan awal kanak-kanak di Dewan Sri Samarahan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) di sini hari ini. Kolaborasi yang telah menjangkau 3 tahun ini menunjukkan penglibatan yang mendadak dengan penyertaan 13 buah sekolah pada tahun ini berbanding 4 sekolah pada tahun 2016 dan 7 sekolah pada tahun 2017. Berikutan itu majlis ini terpaksa dilangsungkan dalam 2 sidang iaitu sidang pagi dan sidang petang.

Majlis Perasmian Konvokesyan Prasekolah tahun ini telah disempurnakan oleh YB Hajah Rubiah binti Haji Wang, Ahli Parlimen P197 Kota Samarahan. Hadir sama ialah Pn. Hamsiah binti Abdullah Masni, Pengarah IPGKTAR, En. Omar bin Hj. Mahli, Wakil Pengarah JPN Sarawak, wakil PPD Samarahan dan guru-guru besar daerah Samarahan. Dalam ucapan perasmian ini, YB Hajah Rubiah tertarik dengan kaedah Pembelajaran Luar Bilik Darjah (Learning Outside The Classroom – LOTC) yang dilaksanakan oleh Prasekolah Mutiara IPGKTAR. Pembelajaran kaedah ini bersifat secara langsung dan autentik kerana kanak-kanak berinteraksi secara langsung dengan sumber sebenar di taman pembelajaran. Hal ini akan memberi peluang kanak-kanak belajar secara exploring, experiencing dan experimenting.

Selain itu, YB Hajah Rubiah juga menegaskan bahawa sekolah-sekolah daerah Samarahan beruntung kerana terdapat sebuah IPG di daerah ini. Pihak sekolah harus mengambil peluang untuk terus aktif berkolaborasi dengan IPGKTAR yang mempunyai banyak kumpulan inovasi dan kreativiti (KIK). Majlis ini juga turut diserikan oleh kanak-kanak cilik dari beberapa buah prasekolah selain beberapa barangan jualan yang menjadi sasaran kanak-kanak terutama produk patung dan bunga. #


Cetak   Emel