Daun Pudina

Bertemu kembali di laman Etnobotani. Siapa tak kenal pudina atau pernah menggunakan produk terhasil campuran pudina. Paling tidak ramai pernah menggunakan ‘ubat gigi’ (tooth paste) yang berperisa pudina. Emmm… pokok pudina, mungkin ada yang tidak berpeluang mengenali secara dekat, apatah lagi menanamnya. Bahagian pudina yang paling dikenali ialah daun kerana ternyata bahagian inilah yang digunakan dengan kerap sama ada sebagai herba tambahan dalam masakan atau perawatan.

Pokok pudina yang ditanam di TE
Pokok pudina yang ditanam di TE

Pudina terletak dalam Famili Lamiaceae, genus Mentha. Genus Mentha terdiri daripada 25 spesies herba beraroma. Tumbuhan ini berupa tumbuhan asal Eurasia, Amerika Utara, Afrika Selatan dan Australia. Ia tersebar luas di kawasan temperat. Dalam keadaan semulajadi berlaku juga hibrid antara spesies pudina yang menghasilkan varieti baharu pudina. Contohnya, Mentha ×piperita ialah hibrid Mentha aquatica dengan Mentha spicata.

Teruskan membaca “Daun Pudina”

Bunga Tonkeng

Bunga Muhibah! Emmm bunga apa agaknya? Inilah analogi yang diberikan oleh seorang pembaca di laman maya bagi Bunga Tonkeng. Kenapa ia dikaitkan dengan muhibah? Nanti di akhir penulisan ini akan saya huraikan.

Bunga Tonkeng nama umum bagi Telosma cordata dari keluarga Asclepiadaceae. Banyak nama lain iaitu Cynanchum odoratissimum, Telosma minor, Pergularia minor, Oxystelma ovatum, Telosma odoratissima, Asclepias cordata, Pergularia odoratissima. Dikenali juga sebagai Bunga Stokin, Chinese violet, Fragrant Telosma, Tonkin jasmine, pakalana wine, cowslip creeper, telosoma. Tumbuhan menjalar ini dipercayai berasal dari China, barangkali ada kaitan dengan daerah di China bernama Telok Tonkin!

MORFOLOGI

Tumbuhan memanjat ini mengeluarkan bunga yang harum. Batangnya yang berkayu dan lentur boleh memanjat sokongan dan bertumbuh sehingga 6 meter. Tumbuhan ini mempunyai daun yang menarik berbentuk hati, dengan tangkai yang panjang serta disusun secara bertentangan sepanjang batang.

Teruskan membaca “Bunga Tonkeng”

Bunga Bakawali

Setelah sekian lama, dah berpuluh-puluh tahun bunga yang satu ini tidak saya temui. Sewaktu kecil di kampong maksu ada menanam bunga ini berhampiran tangga rumah kami. Tumbuhan yang diketengahkan kali ini berupa sejenis bunga yang begitu istimewa cirinya. Bunga bakawali, masyarakat Melayu Sarawak juga mengenalinya sebagai bunga raja. Nama-nama lainnya, Tan Hua or Keng Hua (China), Bakawali (Melayu), Wijaya Kusuma (Indonesia), Gul-e-Bakavali (Hindi), Gekka Bijin (Jepun) membawa maksud “beauty below the moon”.
Bunga bakawali ini banyak ditanam sebagai tanaman hisan. Nama saintifik tumbuhan ini ialah Epiphyllum hookeri dari keluarga Cactaceae. Tanaman asal Mexico dan Costa Rica di America Tengah serta Columbia, Brazil dan Venezuela di America Selatan ini menghasilkan bunga berwarna putih yang kembang di waktu malam. Menjelang siang bunganya akan layu, sesuai sekali digelar “Queen of the night”. Bunga ini juga mengeluarkan bau yang sangat wangi. Terdapat 20 spesies dalam genus Epiphyllum. Bagaimanapun dalam Taman Etnobotani hanya ada satu spesies sahaja.

Teruskan membaca “Bunga Bakawali”

Pokok Pepanggil / Pagoda

Salam pertemuan di alam maya. Kali ini Taman Etnobotani memperkenalkan kalian dengan pokok pagoda. Unik nama panggilannya, mungkin ada kaitan dengan rupa bunga yang seakan bentuk pagoda/tokong. Tumbuhan ini dikenali juga sebagai Bai jek hong (T), iginga, kasopangil, laron anito (F), pepanggil (M), dan pagoda flower (I). Nama saintifiknya Clerodendron paniculatum dari famili Verbenaceae. Sinonim: Clerodendrum Kaempferi (Jacq.) Sleb. = Clerodendrum paniculatum L. = Volkameria javonica Thunb.

Tumbuhan yang berasal dari China dan Asia Tenggara ini mempunyai ciri bunga yang menarik. Bunganya bergugus serta bertingkat-tingkat berwarna merah hampir serupa dengan bunga semarak api. Bezanya ia tidak mempunyai janggut panjang. Bunga berbentuk tiub dengan panjang 1.3 cm setiap satu. Bunga dengan lima kelopak ini mempunya stamen dan stail yang panjang 4 kali ganda panjnag bunga. Bunga-bunga ini disusun dalam jambak di bahagian pucuk tumbuhan membentuk infloresen yang tingginya mencecah lebih dari sekaki. Jambak bunga yang menyerlah ini menjadi tarikan serangga dan burung penghisap madu. Teruskan membaca “Pokok Pepanggil / Pagoda”

Pecah Beling

Salam sejahtera, bertemu kembali di alam maya.
Kembali memperkatakan tentang sejenis lagi tumbuhan herba yang pelbagai kegunaannya. Pokok Pecah Beling (pecah batu), jin batu (Malaysia), enyoh kilo, Keci beling atau kejibeling, pokok Batu Karang (Indonesia), sambung getah, (Jawa), remek, reundeu beureum (tanah pasundan). lire (ternate), 黑面将 (sebut sebagai “hei mian jiang jun”) General Muka Hitam / Black face general (Cina). Begitulah antara nama yang diberi kepada pokok istimewa ini.
Nama saintifik bagi tumbuhan ini ialah Strobilanthes crispus dari famili Acanthaceae dan adalah tumbuhan asal Madagascar hingga ke Indonesia.

Tumbuhan ini mempunyai kandungan kalsium karbonat yang tinggi dan air rebusannya bersifat alkali yang lemah. Kajian oleh Kusumoto dan rakan-rakan (1992) menyatakan bahawa ekstrak air pecah beling mempunyai kompaun atau molekul yang mampu untuk merencatkan pertumbuhan retrovirus; agen dalam jangkitan virus seperti sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan juga mampu untuk merencatkan pertumbuhan sel leukemia. Terdapat banyak kompaun yang telah diasingkan dan dikenal pasti seperti asid kafeik, asid p-hidroksi benzoik, asid p-voumarik, asid vanillik, asid gentinik, asid ferulik dan asid siringik.

Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), daun pecah beling mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%), kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%) dan fosforus (1%). Daunnya juga mempunyai kandungan vitamin C, B1, B2 yang agak tinggi dan banyak bahan yang lain seperti katekin dan tannin. Daun ini juga mengandungi kafeina, tetapi kandungannya adalah rendah. Kesemua kandungan yang dinyatakan menyumbang kepada paras jumlah antioksidan (total antioxidant activity) yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan yerbamate (teh herba) dan vitamin E (alfa-tokoferol).

Bagi kajian antikanser pula, kajian praklinikal telah dijalankan untuk menilai keberkesanan ekstrak pecah beling secara in vitro (kultur tisu) dan in vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu, ekstrak pecah beling bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser kolon, kanser hati dan kanser payu dara. Ekstrak ini mampu membunuh sel kanser dengan mengaruh sel kanser ini mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Di samping itu, ekstrak pecah beling ini juga mampu untuk memendamkan gen penyebab kanser, sekali gus mengurangkan risiko dan keterukan kanser.

Morfologi
Setelah mengenali kepelbagaian kegunaannya, kenali pula ciri-ciri luaran herba ini. Perkara pertama yang saya amati tentang herba ini ialah daunnya hijau berkilat dan kelihatan tidak rata. Permukaan daunnya kesat dan diliputi bulu-bulu halus. Batang pohonnya berdiameter antara 0.2 – 0.7 cm. Kulit luar berwarna ungu dengan bintik-bintik hijau dan apabila menjadi tua berubah menjadi coklat. Pokok pecah beling boleh mencapai ketinggian sehingga 2 meter serta tumbuh merimbun.

Daun pecah beling yang menghijau dalam Taman Etnobotani.

Daun bujur-meruncing, agak bulat dihujung (obtuse) dengan garis cetek tidak lurus (crenate-crispate) (Liza et al.,2007). Tepi daunnya bergerigi dengan jarak agak jarang, berbulu halus hampir tak kelihatan. Panjang helaian daun (tanpa tangkai) antara 5 – 8 cm (ukuran normal) dan lebar daun kira-kira 2 – 5 cm. Permukaan daun agak kesat dan berbulu.

Bunganya bersaiz kecil, mempunyai 5 kelopak serta berwarna kuning.

Daun pecah beling yang dijadikan teh menunjukkan tahap antioksidan yang tinggi berkesan menurunkan paras gula dalam darah. (Kajian UPM). Daunnya juga digunakan untuk mengatasi tubuh yang gatal kerana ulat bulu atau semut hitam dengan mengoleskan daun pada bahagian badan yang gatal. Untuk mengatasi cirit-birit, disentri, seluruh bahagian dari tanaman ini direbus, selama lebih kurang setengah jam, kemudian airnya diminum. Daun pecah beling juga dapat mengatasi kencing manis dengan cara dimakan sebagai salad secara teratur setiap hari

Pembiakan
Tentunya soalan yang bermain di minda, ialah bagaimana membiak tumbuhan ini? Ia agak ditanam menggunakan keratan batang. Pilih dan potong bahagian batang yang elok dan tidak berpenyakit lebih kurang 6 hingga 8 inci panjang. Potong ranting muda, daun dan tinggalkan daun di pucuknya. Ini bagi mengurangkan stress akibat kehilangan air. Semaian hendaklah diletakkan di tempat redup.

  1. Herba dan tumbuhan blogspot http://herbadantumbuhan.blogspot.my/2012/06/pecah-beling-strobilanthes-crispus-ubat.html
  2. Prof. Madya Dr. Asmah Rahmat dan Mohd. Fadzelly Abu Bakar.Jabatan Pemakanan dan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,UPM, Serdang, Selangor, Malaysia (Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0123&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm#ixzz5CtbcxyAC
    © Utusan Melayu (M) Bhd)
  3. http://www.tanomkinotuan.blogspot.com