Bunga Tonkeng

Bunga Muhibah! Emmm bunga apa agaknya? Inilah analogi yang diberikan oleh seorang pembaca di laman maya bagi Bunga Tonkeng. Kenapa ia dikaitkan dengan muhibah? Nanti di akhir penulisan ini akan saya huraikan.

Bunga Tonkeng nama umum bagi Telosma cordata dari keluarga Asclepiadaceae. Banyak nama lain iaitu Cynanchum odoratissimum, Telosma minor, Pergularia minor, Oxystelma ovatum, Telosma odoratissima, Asclepias cordata, Pergularia odoratissima. Dikenali juga sebagai Bunga Stokin, Chinese violet, Fragrant Telosma, Tonkin jasmine, pakalana wine, cowslip creeper, telosoma. Tumbuhan menjalar ini dipercayai berasal dari China, barangkali ada kaitan dengan daerah di China bernama Telok Tonkin!

MORFOLOGI

Tumbuhan memanjat ini mengeluarkan bunga yang harum. Batangnya yang berkayu dan lentur boleh memanjat sokongan dan bertumbuh sehingga 6 meter. Tumbuhan ini mempunyai daun yang menarik berbentuk hati, dengan tangkai yang panjang serta disusun secara bertentangan sepanjang batang.

Bunga Tonkeng berbentuk loceng mempunyai 5 kelopak tersusun dalam jambak bunga. Jambak-jambak bunga ini tumbuh pada ketiak daun di sepanjang batang. Warna kelopaknya yang kuning akan berubah menjadi oren setelah beberapa hari. Ciri menarik bunga ini ialah keharumannya yang lembut boleh dinikmati siang dan malam sehingga ia layu.

KEGUNAAN

Tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang boleh dimakan iaitu bahagian bunga dan pucuknya. Putik bunga dan pucuknya digoreng atau dijadikan sup. Bunganya rasa sedap dan kaya dengan karbohidrat, protein dan vitamin A. Kaum-kaum utama di Malaysia menggunakan bunga ini dalam masakan. Kaum Cina masak sup, India dicampur ke dalam kari, Melayu pula dimasak gulai. Maka itulah dianalogikan Bunga Muhibah.

Amalan Tradisi Perawatan

Bunga Tonkeng boleh dibuat ulam atau di buat kerabu. Bunga ini biasanya digoreng dengan telur atau boleh dimasak sup. Ia juga digunakan untuk merawat sakit mata.

Banyak kegunaan tumbuhan ini. Cara pembiakannya agak mudah iaitu menggunakan keratan batang. Boleh juga dibiak dari biji benih, dengan syarat bunganya tak dipetik untuk dimasak.

RUJUKAN

https://wannura.wordpress.com/2012/11/15/bunga-tongkeng-telosma-cordata-harum-dan-boleh-dimakan/
http://fuziahsulaiman.blogspot.com/2018/01/jom-kenali-flora-bunga-tongkeng-di.html
https://en.wikipedia.org/wiki/Telosma_cordata

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *