Bunga Bakawali

Setelah sekian lama, dah berpuluh-puluh tahun bunga yang satu ini tidak saya temui. Sewaktu kecil di kampong maksu ada menanam bunga ini berhampiran tangga rumah kami. Tumbuhan yang diketengahkan kali ini berupa sejenis bunga yang begitu istimewa cirinya. Bunga bakawali, masyarakat Melayu Sarawak juga mengenalinya sebagai bunga raja. Nama-nama lainnya, Tan Hua or Keng Hua (China), Bakawali (Melayu), Wijaya Kusuma (Indonesia), Gul-e-Bakavali (Hindi), Gekka Bijin (Jepun) membawa maksud “beauty below the moon”.
Bunga bakawali ini banyak ditanam sebagai tanaman hisan. Nama saintifik tumbuhan ini ialah Epiphyllum hookeri dari keluarga Cactaceae. Tanaman asal Mexico dan Costa Rica di America Tengah serta Columbia, Brazil dan Venezuela di America Selatan ini menghasilkan bunga berwarna putih yang kembang di waktu malam. Menjelang siang bunganya akan layu, sesuai sekali digelar “Queen of the night”. Bunga ini juga mengeluarkan bau yang sangat wangi. Terdapat 20 spesies dalam genus Epiphyllum. Bagaimanapun dalam Taman Etnobotani hanya ada satu spesies sahaja.

Morfologi

Tumbuhan ini seperti ahli famili kaktus yang lain tidak memiliki daun sebenar. Terdapat 2 jenis batang; batang utama yang berbentuk selinder panjang dan kecil serta batang sekunder yang lebih matang berbentuk pipih dan lebar dengan bahagian sesi beralun /lekuk.

Pokok bakawali yang ditanam di TE ini telah beberapa kali mengeluarkan bunga. Menunggu bunga bakawali berkembang memang mengujakan. Tidak sabar rasanya hendak menyaksikan kecantikannya. Malang sekali tabiat bakawali yang berkembang sepenuhnya pada waktu sekitar tengah malam menyebabkan saya sendiri tidak berkesempatan menyaksikan proses tersebut. Dari pemerhatian, saya mendapati bunga ini berkembang sepenuhnya dalam masa kira-kira 15 – 16 hari dari mula mengeluarkan putik bunga. Dengan panjang 8 mm pada hari pertama saya membuat pemerhatian hinggalah hari ke 16, panjangnya ialah 26 cm.

Gambar-gambar di atas menunjukkan perkembangan dari putik bunga hinggalah kumtum bakawali berkembang sepenuhnya.
“Queen of the night” yang dirakam pada awal pagi. Kelopak bunganya sudah mula kelayuan. Warna putihnya begitu menyerlah menyerikan TE biarpun keharumannya sudah tidak terhidu.

Kegunaan

Banyak juga diperkatakan tentang kegunaan bunga bakawali ini untuk tujuan perubatan. Bunganya dikatakan baik untuk merawat rabun dan mencantikkan kulit. Kelopak digunakan untuk merawat luka, manakala batang dikeringkan bagi merawat darah tinggi dan kencing manis. Bunganya juga dikeringkan diambil sebagai tonik dan mengubati batuk.

Rujukan:
http://animhosnan.blogspot.com/2016/06/bunga-bakawali.html
https://www.nst.com.my/news/2015/09/moonlight-beauty
https://davesgarden.com/guides/pf/showimage/39113/
http://www.theplantlist.org/browse/A/Cactaceae/Epiphyllum/

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *