Pecah Beling

Salam sejahtera, bertemu kembali di alam maya.
Kembali memperkatakan tentang sejenis lagi tumbuhan herba yang pelbagai kegunaannya. Pokok Pecah Beling (pecah batu), jin batu (Malaysia), enyoh kilo, Keci beling atau kejibeling, pokok Batu Karang (Indonesia), sambung getah, (Jawa), remek, reundeu beureum (tanah pasundan). lire (ternate), 黑面将 (sebut sebagai “hei mian jiang jun”) General Muka Hitam / Black face general (Cina). Begitulah antara nama yang diberi kepada pokok istimewa ini.
Nama saintifik bagi tumbuhan ini ialah Strobilanthes crispus dari famili Acanthaceae dan adalah tumbuhan asal Madagascar hingga ke Indonesia.

Tumbuhan ini mempunyai kandungan kalsium karbonat yang tinggi dan air rebusannya bersifat alkali yang lemah. Kajian oleh Kusumoto dan rakan-rakan (1992) menyatakan bahawa ekstrak air pecah beling mempunyai kompaun atau molekul yang mampu untuk merencatkan pertumbuhan retrovirus; agen dalam jangkitan virus seperti sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan juga mampu untuk merencatkan pertumbuhan sel leukemia. Terdapat banyak kompaun yang telah diasingkan dan dikenal pasti seperti asid kafeik, asid p-hidroksi benzoik, asid p-voumarik, asid vanillik, asid gentinik, asid ferulik dan asid siringik.

Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), daun pecah beling mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%), kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%) dan fosforus (1%). Daunnya juga mempunyai kandungan vitamin C, B1, B2 yang agak tinggi dan banyak bahan yang lain seperti katekin dan tannin. Daun ini juga mengandungi kafeina, tetapi kandungannya adalah rendah. Kesemua kandungan yang dinyatakan menyumbang kepada paras jumlah antioksidan (total antioxidant activity) yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan yerbamate (teh herba) dan vitamin E (alfa-tokoferol).

Bagi kajian antikanser pula, kajian praklinikal telah dijalankan untuk menilai keberkesanan ekstrak pecah beling secara in vitro (kultur tisu) dan in vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu, ekstrak pecah beling bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser kolon, kanser hati dan kanser payu dara. Ekstrak ini mampu membunuh sel kanser dengan mengaruh sel kanser ini mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Di samping itu, ekstrak pecah beling ini juga mampu untuk memendamkan gen penyebab kanser, sekali gus mengurangkan risiko dan keterukan kanser.

Morfologi
Setelah mengenali kepelbagaian kegunaannya, kenali pula ciri-ciri luaran herba ini. Perkara pertama yang saya amati tentang herba ini ialah daunnya hijau berkilat dan kelihatan tidak rata. Permukaan daunnya kesat dan diliputi bulu-bulu halus. Batang pohonnya berdiameter antara 0.2 – 0.7 cm. Kulit luar berwarna ungu dengan bintik-bintik hijau dan apabila menjadi tua berubah menjadi coklat. Pokok pecah beling boleh mencapai ketinggian sehingga 2 meter serta tumbuh merimbun.

Daun pecah beling yang menghijau dalam Taman Etnobotani.

Daun bujur-meruncing, agak bulat dihujung (obtuse) dengan garis cetek tidak lurus (crenate-crispate) (Liza et al.,2007). Tepi daunnya bergerigi dengan jarak agak jarang, berbulu halus hampir tak kelihatan. Panjang helaian daun (tanpa tangkai) antara 5 – 8 cm (ukuran normal) dan lebar daun kira-kira 2 – 5 cm. Permukaan daun agak kesat dan berbulu.

Bunganya bersaiz kecil, mempunyai 5 kelopak serta berwarna kuning.

Daun pecah beling yang dijadikan teh menunjukkan tahap antioksidan yang tinggi berkesan menurunkan paras gula dalam darah. (Kajian UPM). Daunnya juga digunakan untuk mengatasi tubuh yang gatal kerana ulat bulu atau semut hitam dengan mengoleskan daun pada bahagian badan yang gatal. Untuk mengatasi cirit-birit, disentri, seluruh bahagian dari tanaman ini direbus, selama lebih kurang setengah jam, kemudian airnya diminum. Daun pecah beling juga dapat mengatasi kencing manis dengan cara dimakan sebagai salad secara teratur setiap hari

Pembiakan
Tentunya soalan yang bermain di minda, ialah bagaimana membiak tumbuhan ini? Ia agak ditanam menggunakan keratan batang. Pilih dan potong bahagian batang yang elok dan tidak berpenyakit lebih kurang 6 hingga 8 inci panjang. Potong ranting muda, daun dan tinggalkan daun di pucuknya. Ini bagi mengurangkan stress akibat kehilangan air. Semaian hendaklah diletakkan di tempat redup.

  1. Herba dan tumbuhan blogspot http://herbadantumbuhan.blogspot.my/2012/06/pecah-beling-strobilanthes-crispus-ubat.html
  2. Prof. Madya Dr. Asmah Rahmat dan Mohd. Fadzelly Abu Bakar.Jabatan Pemakanan dan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,UPM, Serdang, Selangor, Malaysia (Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0123&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm#ixzz5CtbcxyAC
    © Utusan Melayu (M) Bhd)
  3. http://www.tanomkinotuan.blogspot.com

6 pandangan di “Pecah Beling”

  1. Memang tidak dinafikan kebaikan daun ini dibuat sebagai minuman harian. Saya kerap meminumnya. Alhamdulillah….

  2. Sudah terbukti air rebusan daun pecah beling dapat melawaskan pembuangan air kecil dan besar…InsyaAllah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *