Pokok Kesum

Daun yang disusun bersilang

Sebagaimana kebiasaannya saya akan berjalan-jalan di taman ini memerhati tumbuhan sebagai menghilangkan sedikit rasa sengal setelah agak lama duduk di kerusi atau sekadar menghilangkan lelah mata sepanjang hari menghadap skrin komputer. Kali ini saya terpandang pokok kesum yang hidup subur di bawah rimbunan pokok turi, pokok bakawali serta pokok delima.  Biasanya tumbuhan ini perlu ditanam di kawasan tanah lembab atau sedikit berair.  Banyak juga yang boleh diperkatakan tentang herba ini sama ada berkaitan dengan nilai perubatan atau penambah selera dalam masakan.

Kesum nama yang sinonim dengan pelbagai masakan  Melayu dikenali dengan nama saintifiknya Polygonum minus dari keluarga Polygonaceae.  

Pokok Kesum merupakan sejenis tumbuhan renek yang menjalar di atas tanah atau memanjat pokok yang lain sebagai sokongan. Ketinggian pokok kesum mampu mencapai sehingga 1 meter di kawasan tanah rendah. Daun kesum berwarna hijau gelap dengan bentuk panjang dan runcing di hujung, berukuran 1.5 – 2 cm lebar, dan 5.0 – 7.0 cm panjang. Susunan daun kesum adalah bersilang dalam bilangan 3-5 helai daun pada satu tangkai daun. Batang tua berwarna coklat gelap manakala warna kehijauan terdapat pada bahagian pucuk yang berbentuk selinder dengan ruas yang banyak.

Bunga kesum mempunyai 4 kelopak berwarna putih keunguan dengan di tengahnya terdapat stigma dan filamen yang juga berwarna putih dan sedikit keunguan. Saiz bunga kesum sangat kecil. Ia tumbuh pada bahagian pucuk terutama pada pokok yang telah berumur lebih dari 4 bulan dan yang menerima 80-100% cahaya matahari. Buah kesum sangat kecil dan amat jarang ditemukan. Kebetulan terdapat beberapa kuntum bunga kesum yang dapat dirakam dengan lensa kamera telefon saya.  Bagaimanapun setakat ini saya belum berjaya menemukan buah kesum. Belum rezeki agaknya!

Daun kesum yang memiliki bau khas yang aromatik, dan dapat menghasilkan minyak sari pati yang mengandung bahan kimia aliphatic aldehyde sehingga 60 peratus. Minyak pati ini mempunyai potensi tinggi sebagai pewangi dan perrisa. Unsur kimia utama ialah decanal dan dodecanal.

Apabila dicampur dalam masakan, daunnya menghasilkan rasa masam lemak dan aroma yang cukup menyelerakan. Terliur teringatkan sayur keladi masak air campur daun kesum dan daun kunyit. Bukan setakat aromanya, daun ini juga kaya beta karotena, vitamin A, vitamin C dan mineral seperti kalium, kalsium dan fosforus. Selain dimasak, ia juga boleh dimakan mentah sebagai campuran nasi ulam, nasi kerabu dan laksa.

Beberapa kuntum bunga kesum
Beberapa kuntum bunga kesum
Pokok Kesum hijau merimbun
Pokok Kesum hijau merimbun
Daun yang disusun bersilang
Daun yang disusun bersilang
Batang selinder beruas menjalar
Batang selinder beruas menjalar

Nilai perubatan

Kesum telah digunakan secara tradisional untuk membantu masalah pencernaan iaitu dengan meminum air rebusan daunnya. Air rebusannya juga biasa dijadikan minuman wanita lepas bersalin.

Saya petik sedikit info dari laman maya tentang kajian terkini khasiat pokok kesum. Kajian oleh Institut Biologi Sistem (Inbiosis) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  mendapati bahawa kesum turut mempunyai sebatian yang bertindak sebagai antioksidan dan penghalau serangga. Antara produk yang telah dihasilkan adalah pewangi kereta yang mempunyai kelebihan sebagai penghalau serangga dan juga mengandungi bahan aromaterapi.

UKM melalui kajian terhadap tumbuhan tersebut menemui aspek baharu berpotensi sebagai penawar kanser serta mempunyai kandungan sebatian tulen yang diberi nama Polygonumins A. Sebatian tersebut menunjukkan reaksi aktif 100 peratus perencatan terhadap sel kanser. Walau bagaimanapun kajian Inbiosis ini masih di peringkat awal. (https://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/daun-kesum-antikanser-1.178509)

Begitulah, usah persiakan pelbagai khazanah alam yang bermanfaat  dan boleh diperoleh dengan mudah di persekitaran kita. Bolehlah mula menanam sepasu dua untuk dipetik bila perlu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Medan diperlukan ditanda dengan *