Pokok Kedondong

Putik muda buah kedondong

Selamat bertemu kembali melalui laman maya. Saya masih mencari-cari apakah tumbuhan dalam taman Etnobotani yang sesuai untuk diketengahkan. Terdapat begitu banyak tumbuhan yang menarik untuk dikongsikan. Menyedari hakikat saya bukanlah pakar tentang tumbuhan tetapi berbekal sedikit pengetahuan asas dan minat saya usahakan meneroka penulisan sama ada di alam maya atau alam realiti bagi memperoleh sedikit maklumat untuk dikongsikan di sini.

Kali ini saya terpanggil memilih Kedondong atau juga dikenali sebagai Ambra dalam kalangan masyarakat di utara Semenanjung Malaysia.  Nama saintifik kedondong, Spondias cytherea dari famili Anacardiaceae.  Penanamannya agak mudah sama ada dari biji benih, tut atau cantuman. Pokoknya boleh mengeluarkan buah  seawal satu tahun sehingga empat tahun. Berdasarkan pemerhatian pokok kedondong yang ditanam di Taman Etnobotani IPGKTAR mula menghasilkan buah sekitar tiga tahun selepas ditanam.

Sedikit maklumat berrkenaan morfologi kedondong. Daunnya dari jenis daun majmuk, 8 hingga 10 helai daun bagi setiap tangkai, berwarna hijau berkilat, berbentuk panjang tajam di bahagian hujung. Mengeluarkan jambak bunga di hujung ranting sepanjang sehingga 35 cm. Bunganya bersaiz halus berwarna putih kekuningan. Buah kedondong yang terhasil berbentuk bulat lonjong berwarna hijau ketika muda dan kekuningan apabila masak. Bijinya berserabut, bergantung kepada varieti ada yang keras dan terdapat juga yang lembut. Isi buahnya masam dan biasanya dimakan mentah sebagai ulam atau kerabu. Buah kedondong juga enak dibuat jus, selain dijeruk. Buahnya juga boleh dimasak kari,  acar dan dibuat jem dan jeli.

Kajian menunjukkan buahnya mengandungi 60 – 85 % air, 0.5 – 0.8 % protein, 0.3 – 1.2 % lemak, 8 – 10 % sukros, 1 – 3.8 % serabut, kaya dengan vitamin C dan zat besi. Zat besi dan vitamin C penting dalam pembentukan haemoglobin dalam darah. Pektin iaitu serabut larut yang baik untuk menurunkan kolestrol darah terutamanya LDL.

Pokok kedondong ini mudah ditanam di atas tanah atau dalam pasu. Selain jadi hiasan boleh juga mengutip hasil. Pemerhatian terhadap pokok yang ditanam di Taman Etnobotani mendapati pokok ini agak mudah diserang Jelaga Hitam yang jika tidak dikawal boleh membantutkan pertumbuhan pokok ini.

Pokok kedondong dalam pasu
Pokok kedondong dalam pasu
Pokok kedondong di Taman Etnobotani IPGKTAR
Pokok kedondong di Taman Etnobotani IPGKTAR
Sejambak buah yang masih mentah
Sejambak buah yang masih mentah
Sejambak bunga
Sejambak bunga
Putik muda buah kedondong
Putik muda buah kedondong

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Medan diperlukan ditanda dengan *